Tinggalkan jejak anda ye~

Tuesday 4 September 2012

KESAN NIKMAT ITU PERLIHATKANLAH!


Apa yang ada di dalam hati dan fikiran akan terserlah melalui lisan, penampilan dan perbuatan. Jika hati dan fikiran baik, maka baiklah segala-galanya, dan begitulah juga jika sebaliknya.
Justeru, Sayidina Uthman Ibn Affan, seorang sahabat yang utama telah menegaskan,”Tidaklah seseorang merahsiakan sesuatu, kecuali Allah akan mengungkapnya melalui raut wajah dan lisannya.”
Maksudnya, air muka dan perkataan kita adalah cerminan apa yang ada di dalam hati kita.
Jika iman yang tersemat di dalam dada kukuh, maka indahlah wajah. Jika ilmu yang terpasak di dalam minda mantap, maka lancar dan sopan jualah pertuturan. Imam Ibnul Jauzi berkata,”Para salafussoleh menilai seorang hamba yang soleh itu dari penampilan dan sikapnya, bukan kerana ilmunya. Ini kerana buah daripada ilmu yang benar ialah penampilan dan sikap yang baik.”
Islam sangat mementingkan nilai estetika. Kamal (sempurna), Jalal (keagungan) dan Jamal (keindahan) adalah antara sifat-sifat kebesaran Allah. Kita sebagai hambaNya, mesti berusaha agar sifat-sifat kebesaran itu diyakini bukan sahaja oleh diri sendiri tetapi juga oleh orang lain. Bagaimanakah caranya?
Paparkanlah kesan nikmat dari Allah yang Maha Agung itu melalui diri kita. Tampilkanlah karakter atau keperibadian yang cantik, indah dan kemas menggunakan seluruh nikmat Allah yang telah diberikannya kepada diri kita. Jadikanlah diri kita sebagai bukti keindahan ciptaan Allah. Semoga dengan itu diri kita dan manusia lain akan merasai betapa Pencipta itu jauh lebih indah daripada segala ciptaan-Nya.   
Langkah inilah yang selalu diingatkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabatnya. Auf bin Malik menceritakan, “Aku pernah datang kepada Rasulullah SAW dengan berpakaian yang sudah lama dan lusuh.” Rasulullah SAW bertanya, “Adakah kamu mempunyai harta?” Aku menjawab, “Ya”. Rasulullah SAW kemudian bertanya lagi,”Dari mana sumber harta yang kau miliki itu?” Aku menjawab,”Allah memberikan pada ku melalui unta, kambing, keldai dan tepung.” Lantas Rasulullah SAW berkata, “ Jika engkau telah diberi harta oleh Allah, perlihatkanlah kesan nikmat Allah dan kemuliaan yang telah Allah berikan itu kepada mu.”
Dalam konteks yang sama pernah Rasulullah SAW melihat seorang pemuda yang kusut dan rambutnya pun tidak terurus, lalu baginda bersabda,”Apakah orang ini tidak mempunyai sesuatu yang membolehkannya merapikan rambutnya?” Rasulullah SAW juga pernah melihat seorang sahabatnya mengenakan pakaian yang kotor, lantas baginda menegur,”Apakah orang ini tidak memiliki air untuk mencuci pakaiannya?”
Ternyata Rasulullah SAW adalah orang yang paling menjaga penampilannya. Bersih, kemas dan cantik adalah citra diri yang sentiasa sinonim dengan Rasulullah SAW. Baginda adalah “Al Quran hidup” yang begitu indah bila dilihat, apalagi bagi yang bergaul bersamanya. Dari Jabir bin Samrah  RA, diriwayatkan,”Aku melihat SAW pada suatu malam terang bulan, aku melihat antara Rasulullah SAW dan bulan.” Jabir menyambung.” Ternyata Rasulullah SAW bagi ku lebih indah daripada rembulan.”
Untuk tampil indah tidak semestinya dengan kekayaan tetapi cukup dengan kebersihan dan kekemasan. Ertinya, sikaya dan simiskin mampu untuk tampil indah, kemas dan memikat. Bukan untuk berbangga tetapi sebagai kaedah untuk membuktikan betapa besarnya kesan nikmat Allah kepada kita. Juga sebagai manifestasi keindahan Islam yang kita anuti dan perjuangkan. Bukan diri kita yang hendak dibesarkan, tetapi kebesaran Alah dan keindahan Islam.
Itulah juga tradisi dan ‘life style’ para Salafus soleh. Imam Ahmad Ibnu Hanbal rhm misalnya, terkenal dengan penampilannya yang kemas dan indah walaupun beliau bukan seorang yang kaya. Beliau adalah seorang anak yatim dan berasal daripada keluarga yang miskin. Bukan sahaja ketinggian ilmu dan keindahannya yang memikat, bahkan penampilan fizikalnya turut menyejukkan hati.
Tentang penampilan Imam Ahmad bin Hanbal itu, seorang sahabat karibnya Al Maimuni telah berkata,”Aku tidak pernah melihat ada seseorang yang memakai pakaian lebih bersih dari Imam Ahmad rhm. Belum pernah aku melihat ada orang yang merapikan janggut dan rambutnya hingga kacak badannya melebihi Imam Ahmad rhm. Bahkan aku belum pernah melihat baju yang lebih putih seperti  yang dipakai oleh Imam Ahmad.”
Inilah jalan yang ditempuh oleh para Salafus soleh untuk meneladani jalan Rasulullah saw dan inilah juga jalan kita. Hiasilah diri kita agar sentiasa tampil anggun dan menawan. Ingat, wajah, lisan, pakaian dan luaran kita adalah terjemahan apa yang ada di dalam hati kita!

No comments: