Tinggalkan jejak anda ye~

Tuesday 25 November 2014

Kebaikan membaca~

Seronok tengok modal insan kita bergelar graduan. Tidak kira bertaraf Diploma, Sarjana Muda, Sarjana, Doktor Falsafah (PhD) mahu pun Ijazah Kehormat PhD. Sekarang ini musim konvo di sana sini. Mereka yang bergelar graduan sudah membuktikan kesungguhan mereka untuk belajar di menara gading, apatah lagi di usia yang senja. Ilmu tidak mengenal usia, kata pujangga cendekiawan.
Kalau yang bergelar Ijazah Kehormat PhD pula, kelompok ini pula memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan industri negara.
Nama besar seperti Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman menerima Ijazah Kehormat PhD Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat, manakala Penasihat Agama kepada Perdana Menteri yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdullah Md Zin pula menerima Ijazah Kehormat PhD Dakwah dan Pengurusan daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kali ke-12, baru-baru ini.
Pengiktirafan ilmu
Malahan penganugerahan ilmu peringkat tertinggi juga memberi pengiktirafan kepada seorang ketua negara seperti Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dalam bidang Undang-Undang sempena Konvokesyen ke-50 Universiti Sains Malaysia (USM). Dalam konvokesyen yang sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dianugerahkan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dan tokoh kepemimpinan pendidikan, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad dengan Ijazah Kehormat PhD Pendidikan.
Semua pengiktirafan dan anugerah yang diterima itu kerana ilmu dan makrifat yang disebarluaskan. Terhasilnya ilmu itu kerana pembacaan yang meluas. Semuanya bermula dengan pantas, dengan mengambil iktibar atas peristiwa wahyu pertama diturunkan di Gua Hira'. Kerana kuasa Iqra dalam surah al-Alaq bagi ayat 1 hingga 5, umat Islam terkesan dengan menguasai dunia, menikmati akhirat.
Penulis tertarik dengan kuasa Iqra itu yang mana baru-baru ini, penulis tidak terkecuali untuk hadir dalam satu sidang konvokesyen di sebuah universiti terletak di utara tanah air.
Bacaan wahyu pertama
Sebelum bermula barisan panjang mengikut fakulti masing-masing untuk menerima skrol di depan Pro-Canselor, Tun Ahmad Fairuz Datuk Sheikh Abdul Halim, pada ketika itu hadirin, termasuk graduan turut didengari dengan bacaan surah Al-Alaq sebagai pembuka majlis yang penuh beradab dan beristiadat seperti berikut - "Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia, Yang mengajar manusia dengan pena dan tulisan. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahui...".
Ini adalah wahyu pertama yang disampaikan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW. Di dalam wahyu pertama itu, terkandung soal membaca, pena dan tulisan. Tidak akan wujud kepesatan perkembangan universiti dan kelahiran graduan atas dasar apa yang terkandung dalam wahyu yang pertama itu.
Bacaan yang diperintah Malaikat Jibril supaya Rasulullah membacanya bukan sebarang bacaan, tetapi bacalah dengan menyebut nama Allah SWT. Wahyu sulung yang menyuruh agar Nabi membacanya menunjukkan pembinaan manusia yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW adalah berasaskan ilmu pengetahuan melalui jalan pembacaan.
Hasilnya, berjuta jilid kitab-kitab Islam dalam pelbagai bidang ilmu yang merujuk maklumatnya kepada al-Quran adalah satu mukjizat yang sangat menakjubkan. Sekali gus apa yang kita pelajari asasnya adalah tulisan dan bacaan.
Kesan pembacaan yang dihasilkan pula menerusi pena dan tulisan, lebih berpengaruh dari suara yang didengar kerana bacaan mewujudkankan satu interaksi atau komunikasi antara pembaca dan bahan yang dibaca, lain halnya dengan suara yang hanya didengar, tidak semestinya wujud secara fizikal bahan yang didengar. Oleh itu, bacalah bukan sekadar hanya didengar atau disimpan semata-mata tanpa dibaca.
Cendekiawan jadi rujukan
Dalam tafsiran al-Quran berkait surah al-Alaq ini, pembacaan yang disuruh dengan menyebut nama Allah dengan sendiri menentukan matlamat dan hala tuju pembacaan. Apabila ilmu dikuasai melalui pembacaan, maka sesiapa yang tidak membaca seolah-olah pintu ilmunya tertutup. Sebab itu, dalam kalangan ilmuwan ramai menyarankan masyarakat menjadikan kelompok cendekiawan sebagai tempat merujuk.
Melalui pena seperti mana yang disebut, ilmu dan makrifat boleh disebarluaskan, dengannya pintu ilmu dan pengetahuan boleh dibuka. Inilah pena yang meninggalkan hasilnya dan mencelikkan mata generasi demi generasi. Inilah pena yang mengajar manusia apa yang tidak diketahui lalu dipelajari, dikaji dan diteliti oleh generasi umat yang datang silih berganti.
Lihat pula antara tokoh dan sarjana Islam yang boleh diteladani hasil kuasa Iqra ini, Imam Bukhari seorang pakar hadis dengan mengumpul lebih 600,000 hadis. Beliau menekuni, meneliti, menapis hadis yang benar-benar sahih selama 16 tahun sehingga terhasilnya kitab Sahih Bukhari mengandungi 7,124 hadis. Semuanya kerana bacaan, mata pena dan tulisan demi umat Islam sejagat.
Tidak terkecuali Imam As-Suyuti, seorang tokoh ulama Mesir yang hidup sekitar 849 H hingga 911 H. Beliau digelarkan Amirul Mukminin kerana ketinggian darjat keilmuannya dan pernah berkata: "Sesungguhnya aku seorang yang diberikan sifat cintakan ilmu dan kajian, sama ada kecil atau besar". Semuanya itu atas sifat beliau yang kuat membaca dan bertalaqi (menadah kitab).
Penulis sanjung tinggi setiap universiti tempatan menerusi Senat Universiti yang mempunyai ketelitian tinggi dalam menganugerahkan setiap sarjana, yang sebenarnya tidak menolak betapa besarnya peranan pena dan tulisan kerana sumbangan itu akhirnya memperlihatkan kepada perkembangan ilmu, lebih-lebih lagi di Malaysia ini bakal menjadi pusat hab keilmuan global apabila mencapai status negara maju.
Penulis ialah Penganalisis Sosio Media-Politik dan Penyelidik kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

No comments: